Saturday, January 06, 2007

BENARKAH RUFAQA PENEROKA SISTEM EKONOMI TUHAN?

Assalamualaikum. Kami di pihak Webmaster sangat memohon maaf kerana kesibukan tugas dan sering keluar kawasan. Berikut adalah artikel yang ditulis oleh seorang yang telah membuat kajian tentang ekonomi Rufaqa':

Sebelum kita menjawab pertanyaan itu, ada baiknya kita dapatkan dahulu apa yang dimaksudkan sebagai sistem ekonomi Tuhan itu.

Mengikut brochure Rufaqa yang dicetak pada tahun 2003, sistem ekonomi Tuhan itu bolehlah digariskan sebagai berikut:

Sistem ekonomi Tuhan yang dipelopori oleh Rufaqa itu “bermula dari zero, bermodalkan Tuhan” dan “takwa adalah sumber sebenar-benarnya”. “Dengan takwa, orang-orang yang ada tenaga fizikal akan masuk saham, berkorban tenaganya di jalan Allah, secara percuma demi membangunkan fardhu kifayah untuk Tuhan yang dicintainya. Dengan takwa orang-orang kaya sanggup menjadi bank untuk memberi harta dan wangnya kepada Allah (Rufaqa) tanpa meminta pulangan apa-apa.”

"Tuhan (akan) campur tangan sama-sama membangunkan, usaha tersebut kerana janji-Nya untuk menolong orang-orang bertaqwa kepada-Nya, maka berdatangan dan berguguranlah manusia-manusia, wang dan barangan-barangan dari sumber yang tidak diusaha dan tidak terduga.”

“Mereka memanggil Allah dan Rasul untuk menolong.” “Alhamdullilah syarikat Rufaqa tidak berhutang dalam perniagaan. Memang hutang itu tidak disukai Tuhan. Hutang-hutang lapuk akan dibayar sepenuhnya Insya Allah.”

Ringkasnya, di dalam sistem ekonomi Tuhan itu, ia mengajar supaya sesaorang itu akan sentiasa mengharapkan bantuan dari langit tanpa diusahakan, dengan syarat dia sentiasa menjaga ketakwaannya kepada Tuhan sahaja. Semuanya akan “berdatangan dan bergururan manusia-manusia, wang dan barangan-barangan dari sumber yang tidak diusaha dan tidak diduga” dengan percuma, kerana Tuhan telah berjanji akan menolong orang yang bertakwa. Tenaga dan kepakaran tidak perlu dibayar upah dan datang dengan percuma, malahan “orang-orang kaya sanggup menjadi bank untuk memberi harta dan wangnya kepada Allah (Rufaqa) tanpa pulangan apa-apa”.

Itulah lebih kurang yang dimaksudkan sebagai sistem ekonomi Tuhan itu yang sentiasa mengharapkan kepada bantuan dari langit dan untuk melihat cara perlaksanaannya marilah kita perhatikan apa yang dipraktikkan oleh Rufaqa di lapangan pula.

Pertamanya, oleh kerana Rufaqa adalah sebuah syarikat sendirian berhad, kita hendak tahu juga bagaimana cara ia mengendali modalnya dan bagaimana pula rupanya yang bermodalkan Tuhan itu. Untuk tujuan itu, kita kenalah pergi ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi mendapatkan penjelasan.

Dari printout yang diperoleh pada Nov, 06 apa yang disebut sebagai bermodalkan Tuhan itu rupanya masih bermodalkan wang juga dan wang itu dilabur oleh Ashaari sendiri. Dia dan salah seorang anak-anaknya menguasai lebih dari 90% jumlah modal berbayar (paid-up capital) sebanyak RM425,000 di Rufaqa, menjadikannya sebagai pemegang kepentingan majoriti di syarikat tersebut. Jadi, maksud Tuhan yang tersirat adalah wang dan wang itu pula datangnya dari Ashaari, maka jolokkan sistem ekonomi Tuhan itu sebenarnya adalah sistem ekonomi olahan Ashaari sendiri untuk muslihat tertentu. Dan dengan pengunaan wang yang sebegitu banyak dengan sendirinya menyangkal klaim bahawa Rufaqa bermula dari zero kerana klaim itu tidak selari dengan kenyataan. Lagipun banyak harta peningalan Arqam dahulu telah diwarisi oleh Ashaari walaupun tidak didaftar di atas namannya.

Di dalam sistem ekonomi Tuhan as known as Ashaari ini, individu-individu yang menyumbangkan tenaga, kepakaran dan wang kepada Rufaqa dikatakan akan mendapat saham. Maksud saham di sini bukannya saham syarikat, kerana sudah berapa lama Rufaqa beroperasi (kira-kira sudah 9 tahun lamanya sehingga kini) saham berbayarnya masih tidak berubah-ubah dan tetap kekal pada tahap yang sama, walaupun boleh dikirakan ramai juga yang sudah menyumbang tenaga, kepakaran, harta benda dan wang kepada Rufaqa semenjak ia ditubuhkan pada 8.4.97 lagi. Apa yang dikatakan akan mendapat saham itu, adalah pahala di akhirat sahaja.

Maknanya, Ashaari akan mendapat nikmat dari kejayaan Rufaqa di dunia ini manakala individu-individu yang berkorban tenaga, harta benda dan wang akan menerimanya di akhirat sahaja. Kaedah ini sama sahaja dengan yang digunakan oleh pendeta-pendeta Hindu terhadap pengikut marhainnya, mereka disuruh supaya kekal dan terus bersabar di dalam kasta masing-masing untuk diekploitasi dan kalau mereka redha, mereka akan menerima ganjarannya apabila mereka kembali semula ke dunia selepas mati nanti. Nasib mereka akan berubah dan beralih ke kasta yang lebih baik apabila dia hidup semula ke dunia.

Dari pengorbanan jemaahnya itulah Ashaari dapat hidup di dalam serba kemewahan setanding dengan kehidupan orang-orang yang sukses dan kaya raya, manakala individu-individu yang bertakwa itu diasuh supaya redha dengan kedaifan dan susah payah, sekadar disediakan makan minimum dan tempat tinggal ala kadar sahaja. Ashaari hidup bermewah-mewah sesuai dengan ungkapan-ungkapan yang terdapat di buku terbarunya yang berjudul, “Abuya Ashaari Muhamad, Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya” seperti yang berikut,

“Taraf hidupnya mendekti standard raja-raja atau sultan-sultan di dunia.” (Muka 9)

“Jutawan atau billionaire pun tidak akan mampu berbuat seperti (Ashaari) itu.” (Muka 15)

“Abuya (biasanya) mengambil penerbangan First Class.” (Muka 234)


Kalau Ashaari benar-benar jujur dan sentiasa menitik berat tentang pengorbanan atau jihad jemaahnya, yang idealnya adalah menubuhkan Rufaqa sebagai syarikat amanah sahaja tanpa saham dan apa jua sumbangan tenaga, kepakaran, harta benda dan barangan-barangan dari orang ramai adalah untuk manfaat bersama dan bukan untuk manfaat anak pinak Ashaari, iaitu seperti yang berlaku sekarang. Siapa sahaja mentadbir Rufaqa ia adalah untuk kepentingan bersama dan tidak ada sesiapa yang boleh menuntut kepunyaan terhadap aset-aset atau harta benda yang terkumpul. Sekarang, semua keluarga besarnya yang mencecah lebih kurang 200 orang itu bergantung hidup di Rufaqa.

Menyentuh tentang takwa, adakah Tuhan menjanjikan keuntungan perniagaan apabila sesaorang itu bertakwa? Keuntungan yang dijanjikan oleh Allah SWT bagi orang yang bertakwa adalah pahala untuk Akhirat dan bukan keuntungan perniagaan di dunia ini. Selalunya orang yang bertakwa bukan berniaga dan tidak mengharapkan keuntungan perniagaan sebagai imbalan dari ketakwaanya itu. Ini adalah satu daya pengaburan pandangan jemaahnya supaya menerima sahaja apa yang diperkatakan.

Brocurnya juga menyebut tentang pembangunan fardu kifayah untuk Tuhan. Ini satu kekeliruan yang sengaja diciptakan seolah-olah Tuhan memerlukan sesuatu dari makhluknya. Fardu kifayah adalah tanggung jawab umat-Nya untuk manfaat mereka jua dan bukan untuk manfaat Tuhan.

“Panggil Tuhan dan Rasul untuk menolong” adalah satu perbuatan yang biadab. Sebagai makluk yang patuh dan berakhlak kita tidak wajar meletakan Allah Swt di tahap di panggil-panggil. Kita diajar supaya memohon dengan penuh ketertipan dan kesopanan kepada-Nya dan bukan panggil-panggil. Selain daripada itu adalah tidak wajar bagi sesorang memanggil Rasul untuk mendapatkan pertolongan darinya, kerana dia sudah wafat dan tidak berfungsi lagi untuk membantu atau menolong sesiapapun yang masih hidup. Kalaupun mahu memohon pertolongan, ia hendaklah dikhususkan kepada Allah Swt semata-mata bukan kepada Rasul.

Rufaqa tidak berhutang (?)

Ini juga merupakan satu lagi kekeliruan yang disengaja. Brocurnya mencatatkan, “Alhamdullillah, syarikat Rufaqa tidak berhutang dalam perniagaan . Memang hutang itu tidak disukai oleh Tuhan. Hutang lapuk akan dibayar sepenuhnya, Insyallah.” Kenyataan ini saling batal membatalkan di antara satu sama yang lain. Kalau Rufaqa tidak berhutang macamana pula ada hutang lapuk? Namun demikian, akaun Rufaqa mengesahkan sendiri bahawa ia juga berhutang sepertimana yang dilakukan oleh peniaga-peniaga lainnya dengan mencatitkan hutang terkumpul sebanyak RM438,082 pada akaun berakhir 31.12.03.

Selainnya, Rufaqa melaporkan bahawa, “Maka Allah takdirkan dengan “man power” yang kuat dengan Allah, hasil bina insan yang dilakukan itu dapatlah kini Rufaqa menguasai 500 (terkini 700) buah projek perniagaan”. Mengikut penyata akaunnya yang sama yang difail di Suruhanjaya Syarikat Malaysia Rufaqa tidak pun mencatitkan kegiatan yang sebegitu banyak di akaunnya. Kemungkinan jumlah yang diklaim itu merupakan kegiatan-kegiatan individu yang sehaluan fahaman sahaja. Ia dimasuk kira untuk menagih keyakinan orang ramai terhadap Rufaqa ataupun itu adalah bilangan individu-individu yang telah berbai’h untuk menyumbang atau contribute kepada Rufaqa dan bukan merupakan anak syarikat atau kegiatan-kegiatan yang dibiayi dari kewangan Rufaqa secara langsung. Anggapan ini bersesuaian dengan klaim yang didapati dalam buku Abuya Pemimpin Ajaib yang menyebut:

“Wang itu bukan datang dari perniagaan (Rufaqa). Allah rezkikan ‘power’ pada Abuya dengan ‘power’ itu Abuya panggil duit, maka duit datang.” (muka 138)

Mengikut brochure itu lagi, ia baru sahaja mendaftarkan beberapa syarikat sahaja dan bilangannya tidak seberapa pun. Kalaupun dihitung semua ini ia tidak pun melebihi dari 20 buah syarikat kesemuanya termasuklah yang sedang di dalam pendaftaran. Syarikat-syarikat ini pun masih menjalankan kegiatan secara bersendirian dan tidak bergabung di bawah syarikat induk yang boleh ditakrifkan sebagai subsidiary companies kepada Rufaqa. Jadi jumlahnya masih sangat jauh dari 700 yang diklaim itu.

Rufaqa mengklaim “Biro kewangan, mengendalikan kewangan seluruh perniagaan Rufaqa yang menguasai jualan tahunan sebanayak RM40 juta.” Akaun terakhir yang difail di Suruhanjaya syarikat Malaysia bertarikh 31.12.03 mencatitkan turnover sekitar RM9.8 juta sahaja pada tahun itu, iaitu jauh lebih rendah dari amaun yang diklaim.

Brocurnya mengembar gemburkan kejayaan yang luar biasa, “Bukan senang bagi orang Melayu menjayakan sebuah syarikat yang besar”, Mana ada di dunia ini syarikat yang hidup subur oleh ISA?” Kalau dilihat pada pencapaian di akaunnya berakhir 3l.12.06 ia masih mencatitkan kerugian terkumpul sebanayak RM334,663 semenjak ia ditubuhkan pada tahun 1997.

Dari penelitian ini jelas dilihat bahawa Rufaqa telah menghebahkan banyak kenyataan yang tidak benar dan berselindung di belakang sistem ekonomi ciptaan Ashaari yang diberi jolokkan sistem ekonomi Tuhan. Apa yang dilakukannya adalah di luar tab’ie berniaga. Selain dari itu dia berselindung dibawah imej-imej keislaman dengan menyertakan gambar-gambar orang berdoa, sedang solat dan sebagainya untuk mendapat simpati dan perhatian.

Di dalam sistem ekonomi bebas dan juga Islam, kos tenaga kerja sentiasa diberi perhitungan sebagai komponen kos, biasanya di sekitar 20%-30% dari jumlah kos, yang perlu dibayar kepada pemberi khidmat. Di dalam Islam kita juga diingatkan dengan sabda Nabi: “Berawaspadalah! Bayarlah upah pada sesaorang pekerja sebelum peluhnya kering”, menunjukkan tentang perlunya kita mengambil kira upah sebagai elemen kos di dalam perniagaan dan kehidupan sehari-hari. Kita tidak digalakkan meneroka sistem penghambaan apatah lagi dilakukan di bawah pratiks keagamaan di mana seseorang itu disuruh berkorban atau berjihad manakala tuan punya perusahaan itu hidup bersenang lenang di sebalik penderitaan pekeja-pekerjanya itu.

Lebih parah lagi kalau mereka-mereka ini diindoktrinasikan dengan fahaman-fahaman songsang seperti yang dilakukan oleh Ashaari kepada jemaahnya. Mereka menerima sahaja fahaman yang dibawa olehnya sebagai benar dan patuh tanpa sedar yang mereka telah dipergunakan. Fahaman itu sangat sukar dirungkaikan apabila ia sudah membekam di hati sunabari masing-masing dan bersedia merelakan diri menjadi robot-robot yang kaku dan tak mempunya daya berfikir langsung. Dia menanamkan fahaman bahawa dia adalah lebih mengetahui dari Allah Swt. Sehingga sampai ke tahap di mana Allah Swt perlu merujuk kepadanya sebelum melakukan sesuatu terhadap makhuk-Nya yang terlibat dengan kegiatan Ashaari. Di boleh menangguh dan memindahkan kematian, meringankan penyakit, berunding dengan Mungkar dan Nakir, memberi shafaat di Akhirat dan lain-lain lagi. Fahaman ini adalah lebih parah lagi dari yang amalkan di Arqam dahulu.

Brochure ini adalah public document dan sepatutnya ia menyatakan yang benar-benar sahaja dan tidak sebaliknya. Pihak-pihak yang berwajib saya kira perlulah membuat penelitian kerana perniagaannya dijalankan di luar tabi’e lebih-lebih lagi di bidang tenaga di mana ia mengalakkan kepada penghambaan iaitu tidak membayar gaji pada kadar yang munasabah di atas alasan mereka itu berjihad atau berkorban terhadap Allah Swt. Pihak EPF juga perlu membuat semakan sama ada mereka ini menabung ke EPF atau tidak. Rufaqa juga lewat memfailkan akaun-akaunnya dan yang terakhir dilakukan adalah untuk tahun berakhir 31.12.03 sahaja.

Rufaqa sebagai peneroka sistem ekonomi Tuhan as known as Ashaari sepatutnya menunjukkan contoh dengan mematuhi semua keperluan bersyarikat iaitu menyiapkan akaun pada masanya dan menfailkannya ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk pengetahuan awam.

Pada 26.12.06 Rufaqa dan Ashaari dilaporkan telah memfailkan samam malu di Mahkamah pula kerana ada pihak mendakwa dia masih menyuburkan fahaman songsang Aurad Muhamadiah yang diharamkan oleh Kerajaan Malaysia kira-kira 12 tahun dahulu. Ini adalah satu taktik menakut-nakutkan untuk menutup kepincangannya bahawa Rufaqa bukan sahaja menjalankan perniagaan semata-mata, ia juga sebagai sumber kewangan untuk mengembangkan ajaran songsangnya itu. Rufaqa tidak boleh menysisihkan diri dari keterlibatannya di dalam penyebaran ajaran sesat ini kerana semua akitivitinya dihebahkan dan mereka tidak sedar yang mereka sendiri yang melakukan itu. Baru-baru ini sebuah syarikat di bawah rangkaian Rufaqa, Penerbitan Minda Ikhwan (001283198-V) telah menerbitkan sebuah buku yang berjodol “Abuya Ashaari Muhammad, Pemimpin Paling Ajaib Di Zamannya” mendedahkan keterlibatan Ashaari di dalam Rufaqa dan pengembangan fahaman Aurad Muhamadiah yang diharamkan itu. Jadi apa asas saman menyaman ini?

Di dalam buku itu diakui,

“Abuya Ashaari Muhammad tidak boleh dipisahkan dengan Aurad Muhamadiah . Memisahkannya bererti membuang roh dari jasadnya.” Muka 201

Kalau Rufaqa benar-benar meneroka sistem ekonomi Tuhan, tidak akan terjadi terlalu banyak contradictions di dalamnya kerana sistem ekonomi Allah Swt menghalang itu dari berlaku. Apa yang dilakukan oleh Ashaari adalah menyediakan satu sistem penindasan untuk manfaat dirinya dengan jolokan sistem ekonomi Tuhan as known as Ashaari itu.

4 Comments:

At 4:17 PM, Anonymous Anonymous said...

satu ruangan blog yang begitu menarik. informasi yang mendebarkan. teruskan usaha anda.



Bunga Toman.

 
At 4:41 PM, Anonymous Anonymous said...

Syabas kerana menerangkan tentang perniagaan Rufaqa kerana ramai yang simpati kepada kumpulan yang sesat ini atas dasar economi nya dan bukan atas dasar Aqidah.

 
At 3:10 PM, Anonymous Anonymous said...

Abuya Ashaari Muhammad salah 1 dari 30 dajjal sebelum datangnya dajjal yang sebenar..napa la org mudah tertipu..cian betul...

 
At 9:01 AM, Anonymous Anonymous said...

ashaari n rufaqa cume seorang pengecut, semua tuduhan -ve diorg tk dpt lawan, hello... nyonya cina yg mati anaknya dlm lokap pun berani saman Kerjaan Malaysia, ni rufaqa pulak pengecut nak lawan bile dikatakan semua tu tuduhan palsu, apesal tak saman dlm mahkamah?,... pengecut betullah rufaqa n abuya...
mintak2, abuya ni mati cepat, pastu mesti sibuk cari sape jadi imam mahdi..

 

Post a Comment

<< Home