Thursday, September 07, 2006

Yaqazah Pada Era Arqam dan Era Rufaqa

Apabila membicarakan isu Yaqazah dan pendustaan Asaari, kita tidak boleh melarikan diri daripada memdetailkan kisah dan kronologi kejadian bermula daripada era al-Arqam. Ini kerana beberapa faktor:

a. Yaqazah masih menjadi keyakinan sehingga sekarang.
b. Pola cerita, berita dan mesej dari Rasulullah masih tetap sama.
c. Modus operandi berdusta atas nama Rasulullah masih tetap sama dari dulu sehingga kini.
d. Sumber rujukan dan kerangka perjuangan Asaari dan Jemaahnya sangat bergantung kepada maklumat daripada yaqazah.


Sehubungan itu, kami telah membawakan penjelasan yaqazah pada zaman al-Arqam terlebih dahulu bagi memastikan pembaca tidak terkeliru dengan maklumat yang kompleks ini. Ketahuilah bahawa Prof Abdul Hayyie Abdul Syukor (seorang ulama dan pakar hadith di Malaysia) telah mensifatkan bahawa, masalah al-Arqam yang sangat kompleks ini adalah SKANDAL AGAMA TERBESAR DALAM SEJARAH UMAT ISLAM DI MALAYSIA.

Justeru, membincangkan isu yaqazah akan merangkumi seluruh zaman. Sementelahan lagi, ajaran Jemaah Aurad Muhammadiah juga didasari dengan satu peristiwa yaqazah antara Sheikh Suhaimi dan Rasulullah s.a.w. di dalam Kaabah. Mereka mendakwa Sheikh Suhaimi mendapat wirid Aurad Muhammadiah secara jaga dari Rasulullah dan bukannya bermimpi. Inilah Akidah mereka yang menafikan kesempurnaan syariat yang disampaikan oleh Allah kepada baginda dan dari baginda kepada kita semua. Inilah akidah mereka yang menafikan sifat amanah dan tabligh Rasulullah s.a.w. dalam menyampaikan dakwah tauhid dan syariat. Dan inilah akidah Asaari, yang menafikan ayat al-Quran:

ِ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإسْلامَ دِينًا ٌ (٣)

Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu… (Surah al-Ma`idah: ayat 3)

Asaari dan pengikutnya mendakwa dan mempercayai (sebahagian akidah mereka) bahawa Aurad Muhammadiah diterima oleh Sheikh Suhaimi secara langsung dari Rasulullah s.a.w. secara jaga di dalam Kaabah. Menurut Asaari, apabila Sheikh Suhaimi banyak menuntut dan mengamalkan amalan-amalan batin dari ayat-ayat al-Quran, maka Sheikh Suhaimi mula merasa keberatan serta tidak cukup masa untuk mengamalkannya dengan sempurna. Beliau kemudiannya memohon kepada Allah SWT supaya ditunjukkan cara untuk meringkaskan amalan-amalan tersebut atau apa cara sekalipun untuk mengatasinya.

Sheikh Suhaimi kemudiaannya mendapat ‘alamat’ supaya masuk ke dalam Kaabah pada suatu malam tertentu untuk bertemu dengan Rasulullah s.a.w. secara jaga dan dalam keadaan sedar (bukannya dalam mimpi). Di sini, Rasulullah s.a.w. telah mengajar Sheikh Suhaimi bacaan Aurad dan cara-cara mengamalkannya. Pendapat Asaari ini diambil dan disandarkan kepada Manaqib Sheikh Suhaimi (EDISI TAMBAHAN) oleh Taha Suhaimi. (Lihat Asaari Muhammad, Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam, hlm. 34-35, 44. Lihat juga Mohd. Taha Suhaimi, Manaqib Kiyai Agung al-Sheikh al-Sayyid Muhammad bin Abdullah al-Suhaimi, Edisi Jawi, hlm. 27)

Menurut Taha Suhaimi, kenyataan ini tidak terdapat dalam manaqib (buku biografi) asal (JAWA) kerana Mohd. Fadhlullah (pengarang edisi pertama) kurang mengetahuinya. Mohd. Taha memperolehi kenyataan ini daripada Mohd. Khairullah Suhaimi dalam pertemuan mereka. Kisah ini diceritakan oleh Sheikh Suhaimi hanya kepada Mohd. Khairullah sahaja. (Lihat Mohd. Taha Suhaimi, Jawapan Bagi Tuduhan-tuduhan Terhadap Sejarah Hidup Syeikh Muhammad al-Suhaimi dan Aurad Muhammadiah, cet. 4, Singapura; Persatuan Islam dan Pencak Silat Singapura, 1992, hlm. 76.

Kami menganalisis fakta ini dan mendapati bahawa PERISTIWA YAQAZAH ITU TIDAK PERNAH BERLAKU ANTARA SHEIKH SUHAIMI DAN RASULULLAH. IA ADALAH DAKWAAN CUCUNYA YANG TIDAK PERNAH BERTEMU DENGAN SHEIKH SUHAIMI. IA ADALAH DAKWAAN DUSTA MENGGUNAKAN NAMA RASULULLAH. Sekiranya benar Sheikh Suhaimi mengambilnya dari Rasulullah, sudah pasti generasi awal di kalangan anak dan muridnya mengetahui secara mutawatir. INI MEMBUKTIKAN BAHAWA YAQAZAH TERSEBUT ADALAH PALSU, DUSTA DAN TIDAK ADA BUKTI YANG BOLEH MENSAHIHKANNYA. APATAH LAGI, KALAU DISULUH DENGAN ILMU AKIDAH DAN SYARIAT, SUDAH PASTI IA MENYELEWENG.

Maka, sifirnya mudah. Kalaulah Yaqazah Sheikh Suhaimi boleh dipertikaikan dan sangat pasti ia tidak pernah berlaku, maka, apa relevannya Asaari hendak meniru yaqazah seperti itu dan mendakwa dirinya juga boleh beryaqazah dengan Rasulullah?

Adakah Asaari boleh bertemu secara jaga dengan Rasulullah s.a.w. yang telah lama wafat 1400 tahun yang lalu? Adakah Asaari juga boleh berjumpa dengan Sheikh Suhaimi yang telah lama meninggal?

Persoalan Roh adalah rahsia Allah. Allah berfirman:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلا قَلِيلا (٨٥)
Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".
(al-Isra’: 85)

Nas al-Quran dan hadith yang sahih menerangkan roh itu kekal. Ada roh yang akan mendapat nikmat berdasarkan amalan baiknya di dunia, begitu juga sebaliknya. Allah berfirman dalam menceritakan perihal roh:

فَلَوْلا إِذَا بَلَغَتِ الْحُلْقُومَ (٨٣)وَأَنْتُمْ حِينَئِذٍ تَنْظُرُونَ (٨٤)
Maka Alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya, Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya.
(Surah al-Waqi`ah: 83-84)

Dalil di atas menunjukkan bahawa roh adalah sesuatu yang dikirim dan ditempatkan Allah dalam tubuh manusia. Oleh sebab roh, jasad itu hidup. Apabila ajalnya telah sampai, maka keluarlah roh dari tubuh dan itulah saat kematian. Ibn Qayyim al-Jauziyah berkata dalam bukunya al-Ruh: “Ada segelintir masyarakat mendakwa bahawa roh orang yang hidup boleh bertemu dengan roh orang yang telah mati. Adakah dakwaan ini benar? Terdapat golongan yang membenarkan, bahawa penemuan roh orang hidup dengan orang mati sama seperti orang hidup bertemu. Ini bersandarkan dalil:

اللَّهُ يَتَوَفَّى الأنْفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَالَّتِي لَمْ تَمُتْ فِي مَنَامِهَا فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضَى عَلَيْهَا الْمَوْتَ وَيُرْسِلُ الأخْرَى إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ (٤٢

Allah (yang Menguasai segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian ia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).(Surah al-Zumar : 42)

Berdasarkan ayat di atas, Ibn Abbas berkata: “Telah sampai kepadaku berita bahawa roh orang yang hidup dengan orang yang telah mati selalu bertemu di waktu tidur lalu mereka pun bertanya-tanya antara satu dengan yang lain, maka Allah akan menahan roh orang mati dan dilepaskkan-Nya pula roh orang hidup kembali ke jasad masing-masing.” (Lihat Ibn Qayyim al-Jauziyah, al-Ruh, Misr, Dar al-Kinanah al-Islamiyah, hlm. 46)

Kata-kata Ibn Abbas ini menunjukkan bahawa roh orang yang hidup (bukan jasad) boleh bertemu dengan roh orang yang telah mati HANYA DALAM MIMPI (SEMASA TIDUR). Oleh itu, bagi golongan yang mendakwa bertemu dengan Rasulullah atau roh bainda dalam keadaan jaga adalah satu bentuk penyelewengan akidah.

Asaari dalam bukunya 'Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam' telah menggunakan beberapa hujah sebagai sandaran bagi membolehkan bertemu Rasulullah s.a.w., para Nabi, para wali, shuhada’ dan solihin secara jaga. Bukan itu, bahkan boleh meminta pertolongan (istighathah) daripada mereka, walaupun mereka telah meninggal dunia.

Asaari berhujah dengan ayat berikut:

وَلا تَقُولُوا لِمَنْ يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتٌ بَلْ أَحْيَاءٌ وَلَكِنْ لا تَشْعُرُونَ (١٥٤)
Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.
(surah al-Baqarah: ayat 154)

Menurut Asaari ayat ini menegaskan bahawa orang yang telah mati (pada jalan Allah) itu masih hidup. Tidak mustahil ia boleh dijumpai oleh orang yang masih hidup secara sedar.

Pandangan dan akidah Asaari ini bertentangan dengan pendapat ulama-ulama tafsir antaranya Ibn Kathir. Beliau mengatakan yan dikhabarkan oleh Allah dalam ayat ini ialah para shuhada’ yang terbunuh ketika membela agama Allah, sesungguhnya mereka itu tidak mati TETAPI HIDUP DI ALAM BARZAKH. (Lihat Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, Juzu’ 1, Dar al-Ihya’ al-Kutub al-Arabiyyah, hlm 197)

Pendapat Ibn Kathir ini bersandarkan kepada sebuah hadith:

Rasulullah bersabda:

Sesungguhnya roh orang yang mati syahid berbentuk burung hijau bersuka ria dalam syurga sesukanya. Kemudian kembali ke sarangnya yang tergantung di bawah Arasy. Pada suatu ketika Allah menjenguk mereka dan bertanya: “Apakah yang kamu inginkan?” Jawab mereka, “Apa pula yang kami inginkan, sedang Allah telah memberi kepada kami yang tidak diberikan kepada seorang pun dari makhluk-Mu.” Kemudian diulang kembali pertanyaan itu kepada mereka, kemudian kerika mereka merasa harus diminta, maka mereka berkata: “Kami ingin Allah megnembalikan kami ke dunia untuk ikut berperang fi sabilillah sehingga terbunuh untuk-Mu sekali lagi. Mereka meminta ini kerana sudah mengetahui pahala orang mati syahid.” Maka Allah yang Maha Agung menjawab: “SESUNGGUHNYA AKU TELAH MENETAPKAN BAHAWA ORANG YANG TELAH MATI TIDAK DIKEMBALIKAN KE DUNIA LAGI,”
(Sahih Muslim, No. Hadith: 1502 – 1503)

Oleh yang demikian, kebanyakan ulama mufassirin menafsirkan ‘hidup’ para anbiya’ dan syuhada’ itu adalah hidup di alam ghaib iaitu di alam barzakh denan keadaan dan kaifiyat yang tidak diketahui oleh sesiapa pun melainkan Allah. Oleh itu, roh mereka tidak boleh dijumpai oleh orang yang masih hidup secara jaga. Yang boleh, hanyalah pertemuan menerusi mimpi. Maka, tertolaklah hujah Asaari.

Menurut ulama hadith, Muhammad bin `Ulan al-Siddiqi al-Syafi’e al-Asy’ari (Meninggal 1857M) dan Muhammad Ali al-Shafie al-Syanawani (Meninggal 1233H) telah mengatakan bahawa yaqazah dan pertemuan secara jaga dengan Rasulullah hanya berlaku pada hari kiamat kelak, bukannya di dunia ini. Oleh yang demikian itu, dakwaan syeikh-syeikh tarikat bahawa wirid dan zikir ini diambil dari Nabi s.a.w. secara langsung dalam Kaabah bukanlah wirid dan zikir yang ma’thurah bahkan tidak pula syariat mahupun sunnah Nabi s.a.w. kerana ia tidak terdapat dalam nas-nas syarak.

Syeikh Abdul Aziz bin Baaz menyatakan manhaj Ahli Sunnah tentang yaqazah:

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. sesudah baginda wafat, tidaklah lagi dilihat (oleh umat) dalam keadaan jaga. Kiranya umat Islam boleh menerima mimpi sebagai suatu sumber tasyri’ (pembentukan hukum hakam) dan kemudian kita boleh berdialog serta bercakap dengan Nabi s.a.w. dalam keadaan jaga untuk menanyakan sesuatu soalan keagamaan di mana keadaannya telah pun smepurna sebelum kewafatan baginda maka ini bererti memberi ruang kepada orang jahil dan orang yang mempunyai niat buruk untuk membuat sesuatu dakwaan palsu dengan menambah syariat yang baru.” (al-Syaikh Usamah Muhammad al-Awadhi, al-Ahkam Tafsir al-Ru’ya wa al-Ahlam fi al-Quran al-Karim wa al-Sunnah al-Mutahharah).

Seterusnya, Asaari juga berhujah dengan bersandarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dari Anas bin Malik sebagai hujahnya dalam membenarkan dakwaan boleh bertemu dengan Rasulullah secara yaqazah.

Nabi bersabda: Para Nabi itu hidup di dalam kubur mereka dan mereka bersembahyang di dalamnya.

Hujah Asaari ini sangat menyeleweng dan menzahirkan kejahilannya dalam ilmu hadith. Para ulama hadith seperti Prof Dr. Ahmad al-Syarbasi, seorang Prof. di Universiti al-Azhar menghuraikan maksud hadith tersebut sebagai berikut:

“Jumhur Ulama menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. itu hidup secara khusus semasa di dalam kubur. Kita tidak mengetahui hakikat yang sebenar kecuali Allah SWT.” (Ahmad al-Syarabasi, Yas`alunaka fi al-Din wa al-Hayah, J. 1, hlm. 478)

Sheikh Muhammad Nasir al-Din al-Albani pula telah menghuraikan hadith riwayat al-Baihaqi ini dengan katanya:

“Ketahuilah bahawa hidup yang disebutkan dalam hadith ini bagi para Nabi adalah hidup di alam barzakh bukannya hidup di dunia walau sedikitpun.” (al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah wa Syai’u Min Fiqhiha wa Fawa`idiha, hlm. 190)

Dari fakta dan dalil yang kami utarakan ini jelaslah bahawa Asaari nyata tidak merujuk kepada kitab tafsir dan hadith yang MUKTABAR dalam mentafsirkan ayat al-Quran dan hadith Rasulullah s.a.w. Kebanyakan tafsiran itu hanya untuk kepentingan peribadinya semata-mata bagi mengukuhkan kepercayaan pengikut terhadap semua pendustaannya.

Kesimpulannya, orang-orang yang bermimpi berjumpa Rasulullah s.a.w. dan benar-benar dapat menemui bainda secara hidup hanya kepada para sahabat yang hidup sezaman dengan baginda sahaja. Bagi mereka yang tidak hidup sezaman dengan baginda, jika mereka bermimpi berjumpa Rasulullah s.a.w., maka mereka hanya akan dapat melihat baginda secara nyata di akhirat kelak. Oleh itu, dakwaan golongan yang mengaku berjumpa Rasulullah s.a.w. secara jaga, tidak boleh diterima lebih-lebih lagi ia menerima ajaran baru dari Rasulullah sedangkan Islam telah pun sempurna.

Kami menyeru Asaari dan para pengikutnya agar bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat dan menjauhkan diri daripada kejahatan syaitan yang menyesatkan. Pintu taubat masih terbuka untuk kita semua…