Wednesday, July 19, 2006

Asaari Tidak Mempunyai `Ishmah

Antara isu yang perlu disentuh ialah konsep ‘ishmah’ yang wujud dalam Jemaah Aurad Muhammadiah. `Ishmah ialah pemeliharaan daripada dosa dan kesalahan. Sehubungan itu, Asaari mendakwa dirinya ‘mahfuz’ iaitu terpelihara daripada sebarang dosa dan kesalahan. Bagaimana seorang manusia biasa seperti Asaari yang bukan Nabi dan Rasul boleh meyakini dirinya terhindar daripada sebarang dosa dan kesalahan atau mendapat keampunan Allah S.W.T atas segala dosa yang telah lalu dan akan datang?

Konsep ishmah dalam Jemaah Aurad Muhammadiah memberi kesan berikut:

a. Asaari mewajibkan para pengikutnya berpegang dengan MINDA ABUYA (kata-katanya, perbuatannya, taqrirnya dan penulisannya). Para pengikutnya juga diwajibkan menyebarkan MINDA ABUYA dan menyakini MINDA ABUYA sebagai PENTAFSIR AL-QURAN DAN SUNNAH.
b. Asaari mewajibkan pengikutnya hanya menerima ilmu daripadanya dan tidak membenarkan belajar dari para ulama. Ini kerana para ulama tidak bersih dari kesalahan dan dosa.
c. Asaari membuat ’image projection’ bahawa dirinya adalah wali yang terpelihara daripada dosa.
d. Asaari mendakwa mengetahui keadaan batin para pengikutnya. Ini kerana batinnya sangat bersih sehingga mengetahui keadaan batin orang lain.
e. Asaari dan pengikutnya menjadikan MINDA ABUYA sebagai dalil dan roh perjuangan mereka.


Bagaimana konsep ini boleh wujud?

Konsep kemaksuman @ kemahfuzan dalam kelompok tarekat yang sesat memang popular di kalangan mereka. Konsep ini diambil daripada Ibn Arabi yang berkata: "Sesungguhnya termasuk syarat imam batin, hendaklah ia ma'shum (bebas dari dosa)." (Lihat Futuhat Al-Makkiyah, jilid 3, hlm. 183) Katanya lebih lanjut: "Dan engkau, wahai para murid yang tertipu dan tersesat, bantulah apa yang diinginkan terhadap engkau. Dan bersangka baiklah, jangan membantah. Bahkan yakinilah. Dan manusia dalam masalah ini mempunyai perkataan yang banyak. Tapi berserah dirilah, pasti engkau akan selamat. Dan Allah lebih mengetahui perkataan para walinya." (Lihat Muqaddimah Al-Futuhat, jilid I, hlm. 5)


Apa Pendapat Para Ulama?

Sebenarnya, sepanjang sejarah Islam, terdapat banyak individu yang mengaku memiliki kekebalan dan terpelihara daripada sebarang dosa dan kesalahan. Imam Ahmad ibn Abdul Hamid ditanya tentang Mu`iz Mu`id bin Tamim, seorang Khalifah Fatimiyah yang membangunkan Kota Kaherah. “Apakah dia seorang syarif dari keturunan puteri Nabi; Fatimah? Adakah dia dan anak-anaknya maksum? Apakah mereka mengetahui ilmu pengetahuan batin? Bagaimana hukum orang yang menukilkan perkataan mereka dan menjadikannya sebagai dalil dan hujah pendapat mereka?”

Imam Ahmad ibn Abdul Hamid menjawab, “Segala puji bagi Allah S.W.T. Pendapat yang mengatakan bahawa dirinya (Mu`iz Mu`id bin Tamim) atau salah seorang anaknya adalah golongan yang terpelihara dari perbuatan dosa dan kesalahan, sama seperti pengakuan golongan Syiah tentang dua belas Imam Syiah, maka pendapat mereka ini jauh lebih buruk daripada apa yang diperkatakan oleh Syiah Rafidhah. Sebabnya, golongan Syiah mendakwa kemaksuman Imam yang tidak diragui keimanan dan ketaqwaan mereka, bahkan ada yang ahli Syurga seperti Ali, Hasan, Husain r.a.”

Sementara itu, ahli ilmu dan para ulama, bersepakat bahawa pendapat ini adalah seburuk-buruk perkataan dan merupakan kebohongan yang nyata. Kerana ishmah menurut golongan Syiah Rafidhah bukan hanya milik para Nabi. Sedangkan, sesiapapun selain para nabi, perkataannya boleh diambil dan boleh ditinggalkan. Dan ketaatan tidak wajib diberikan kepada orang selain nabi dan para Rasul dalam setiap perkataan yang diucapkannya.

Imam al-Syatibi menyatakan dalam Kitabnya; al-I’tisham:

“Maka, keadaan kaum sufi pun juga sebegitu (tidak maksum dan tidak mahfuz), sebagaimana ulama-ulama yang lain, di mana tidak seorang pun dari mereka yang memiliki ishmah. Ini kerana, mereka sangat mungkin untuk melakukan kesalahan, atau lupa atau melakukan suatu maksiat; baik yang kecil atau pun besar. Tegasnya, setiap apa yang mereka lakukan tidak boleh terlepas dari kedua perkara iaitu kesalahan dan lupa. Oleh itu, para ulama berkata: SETIAP PERKATAAN BOLEH DIAMBIL DAN DITINGGALKAN KECUALI YANG DATANG DARI PERKATAAN NABI S.A.W.”

Al-Qaradhawi dalam bukunya Kaifa Nata`amul Ma`a al-Turath telah menyatakan:

"Yang wajib kita lakukan adalah mengikuti orang yang jelas terpelihara daripada kesalahan (Rasulullah s.a.w.). Dan kita menolak untuk mengikuti orang yang tidak terpelihara dari kesalahan, jika secara nyata dalam mengikuti orang tersebut ada hal yang meragukan bagi kita. Bahkan kita harus mengkaji setiap apa yang datang daripada para Imam, dengan parameter al-Quran dan Sunnah. Apabila dalam pandangan sunnah boleh menerimanya, maka kita pun boleh menerimanya. Namun, apabila sunnah meninggalkannya, maka kita wajib meninggalkannya."

Daripada pandangan para ulama ini, kami menasihati para pengikut Jemaah Aurad Muhammadiah agar meninggalkan MINDA ABUYA dan kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Ini kerana setiap perkataan para ulama, boleh diambil dan boleh ditinggalkan. Kita mengambilnya apabila kata-kata itu bertepatan dengan nas yang sahih. Sehubungan itu, kami mendapati apa yang terkandung dalam MINDA ABUYA, sangat banyak yang bercanggah dengan nas yang sahih. Maka, berasaskan formula yang ulama gariskan ini, sangat perlu kita meninggalkan semua perkara yang dibawa Asaari Muhammad terutamanya yang bercanggah nas yang sahih. Ini kerana Asaari tidak mempunyai Ishmah, tidak kebal dari dosa dan kesalahan atau tidak mahfuz apatah lagi makshum.

Allah S.W.T berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.
(Surah al-Nisa’: ayat 59)

Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya Kaifa Nata`mul Ma`a al-Turath menjelaskan maksud ayat di atas:

“Allah S.W.T mewajibkan taat kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya, secara tersendiri, dan mewajibkan taat kepada pemerintahan sebagai akibat dari ketaatan kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya. Baik kita mentafsirkan ulil amri sebagai alim ulama, sebagaimana yang dikatakan oleh sejumlah ulama salaf. Ataupun kita mentafsirkannya sebagai pemerintah. Mereka semua, boleh diikuti dan ditaati, selama mereka taat kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya. Kerana ketaatan hanya diperbolehkan dalam hal-hal yang baik dalam pandangan agama (makruf). Tidak ada ketaatan yang mutlak, kecuali bagi Allah S.W.T dan Rasul-Nya. Dan tidak ada ketaatan bagi makhluk, yang bermaksiat kepada Penciptanya.”

Daripada ayat dan tafsiran Qaradhawi ini, kami ingin menjelaskan dua perkara:

a. Apa yang berlaku pada Jemaah Aurad Muhammadiah, ketaatan mereka pada Asaari telah melepasi batasan yang dibenarkan oleh Islam. Ini kerana Asaari telah memaksa pengikutnya mentaati dirinya sedangkan dia sudah banyak bermaksiat kepada Allah S.W.T. Antara maksiat paling besar ialah berdusta atas nama Rasulullah menerusi yaqazah yang menjadi agenda perjuangannya.

b. Di samping itu, mereka juga tidak memenuhi tuntutan ayat di atas kerana tidak mentaati fatwa dan dakwah para ulama, mempertikaikan peribadi ulama, memfitnah para ulama dan mengajar ahli mereka agar menolak ilmu yang datang dari ulama. Ini semua menggambarkan sikap ketidak taatan mereka kepada para ulama zaman ini. Sedangkan Nabi s.a.w. bersabda:

“Para ulama adalah pewaris para Nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dirham ataupun dinar, tetapi mereka mewariskan ilmu pengetahuan. Barangsiapa yang mengambilnya, maka dia telah mengambil bahagian yang besar.” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah dari Abu al-Darda’ r.a.)

Daripada hadith ini, jelaslah bahawa kita hanya akan selamat dengan mengambil ilmu daripada para ulama yang mereka warisi daripada Rasulullah s.a.w.. Bagaimana pula dengan Asaari yang berterusan menafikan keilmuan para ulama sezaman dan suka mendakwa dirinya mendapat ilmu secara direct dari Tuhan? Adalah suatu yang tidak munasabah ketika mana Rasulullah menyuruh kita mengambil ilmu dari para ulama, Asaari menipu mengikutnya bahawa dia mendapat ilmu dari langit?

Kebencian Asaari dan penolakannya terhadap keilmuan para ulama dapat dilihat dalam tulisannya sebagaimana berikut:

“Orang kafir, munafik, fasik, memperkatakan Islam bahkan mengajarnya. Dulu orang yang memperkatakan Islam ini tentulah orang Islam sahaja. Tapi sekarang, orang yang memperkatakan Islam boleh jadi orang kafir, munafik, fasik, orientalis dan lain-lain. Bahkan mengajar atau jadi pensyarah di Universiti-universiti orang Islam di seluruh dunia. Lepasan pengajian Islam kini mendapat ijazah di tangan-tangan mereka.” [Buah Fikiran Ustaz Hj. Asaari Muhammad, hlm. 310]

…Ada pangkat, ada nama, disebut dan disanjung orang. Mungkin jadi mufti, kadhi atau ketua pengarah jabatan Islam….Nafsu akan terlonjak-lonjak berkehendakkan jawatan dan kedudukan dengan lulusan agama tadi. [Pendidikan Rapat Dengan Rohaniah Manusia; hlm. 198]

…Apatah lagi bagi mereka yang mengambil ilmu Islam dari lidah orang-orang kafir. Tentulah orang kafir tidak akan ajar ilmu-ilmu ini kerana mereka tidak faham, terutamanya mereka yang mengambil ilmu Islam di London….
Kenapa terjadi begitu? Apa logiknya mereka tuduh sesat? Ini kerana mereka mengukur orang lain dengan ukuran diri mereka. Hal-hal rasa ini sudah tidak dicampakkan ke dalam hati mereka kerana hati sudah tidak dipenuhi dengan cinta dunia. [Pendidikan Rapat Dengan Rohaniah Manusia; hlm. 440]

Sebagai kesimpulan, kami ingin memberi peringatan kepada Asaari agar tidak lagi mendakwa dirinya mahfuz, terpelihara daripada dosa zahir batin, pada masa lalu, kini dan akan datang. Asaari, para pengikutnya adalah manusia biasa yang tidak mempunyai ISHMAH. Ini bermakna, semua kata-kata, tulisan dan ajaran para ulama atau sesiapa sahaja seperti Asaari perlu ditimbang dengan neraca al-Quran dan Sunnah yang sahih untuk dipastikan mana yang bertepatan dan mana yang tidak. Kami akan terus membuat teguran dan nasihat atas iman kepada Asaari dan menilai ajarannya agar boleh diperbetulkan. Sekiranya Asaari enggan membetulkan ajaran atau aqidahnya, kami tetap akan terus menghukum Asaari dan jemaahnya sebagai sesat sebagaimana yang diputuskan oleh para ulama di Malaysia dan menjauhkan orang awam daripada mereka.