Tuesday, June 27, 2006

ASAARI DAN TAQIYYAH

Antara perkara yang perlu dibincangkan tentang akidah Jemaah Aurad Muhammadiah ialah sikap mereka yang suka bertaqiyah. Mereka adalah golongan yang suka berdusta atas dua tujuan, iaitu untuk mengelak tindakan pihak berkuasa agama dan juga untuk mengelabui dan mendapat pengaruh daripada masyarakat.

Apakah itu Taqiyah?
Taqiyah secara etimologis masih satu rumpun dengan kata taqwa. Menurut al-Munjid fi Lughah wa al-A`lam; ia berasal dari kata dasar waqa, yaqi, wiqayat yang bererti memelihara dan menjaga.

Taqiyah merupakan salah satu bentuk aqidah dan amalan golongan Syiah Imamiah. Makna taqiyyah menurut fahaman Syiah al-Farisi ialah menyembunyikan kebenaran dan meninggalkan kewajipan syar’ie dan melakukan tegahan (larangan) kerana takutkan manusia. Ia adalah salah satu rukun dari rukun-rukun agama bagi Syiah. Bagi pengikut Syiah, hukum taqiyyah sama dengan hukum solat; maka meninggalkan taqiyyah umpama meninggalkan solat. (Lihat Muhammad al-Bandari, al-tasyaiyu’ baina Mafhum al-Aimmah wa al-Mafhum al-Farisi, dar Ammar, hlm. 235) Ibnu Babawaih mengatakan: “Keyakinan kami tentang taqiyah adalah wajib. Barangsiapa meninggalkannya maka sama dengan meninggalkan solat.” [Al-I’tiqadat, hlm.114].

Dalam ertikata lain, menyembunyikan keyakinannya buat seketika bagi mencapai matlamat yang diperjuangkan. Bagi menguatkan pendapat ini, golongan Syiah telah berpegang kepada pendapat Imam Sadiq iaitu;

"Tidak ada agama bagi mereka yang tidak mempunyai taqiyah."

Konsep taqiyah hanya terdapat dalam mazhab Syiah sahaja. Walau bagaimanapun, Asaari dalam mempertahankan matlamat perjuangannya, amat berpegang dengan konsep ini yang kandungannya jelas membohongi umat Islam.

Antaranya:

Implikasi dari penyingkiran Akhbar Anang serta rakan-rakannya yang cuba mempertikaikan kepercayaan Asaari dan Darul Arqam berkenaan Syeikh Suhaimi sebagai Imam Mahdi, Asaari telah dipanggil ke Pusat Islam di Kuala Lumpur pada 19 Julai 1979 dan 22 November 1979 ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk memberi keterangan tentang dakwaan tersebut.

Dalam pengakuannya, Asaari berkata:

"...Telah timbul tuduhan mengatakan bahawa anggota-anggota Darul Arqam dan saya sendiri mempercayai, bahawa Syeikh Muhammad al-Suhaimi yang meninggal di Kelang, Selangor dalam tahun 1924 akan hidup semula, dan akan menjadi Imam Mahdi pada akhir zaman. Sebagai orang Islam kita dikehendaki berpegang dengan jaran al-Quran danHadith dan berpandukan ijmak ulama dan qiyas. Saya sebagai mudir Yayasan al-Arqam, tidak pernah memberitahu atau mengajar mana-mana anggota Darul Arqam supaya berkeyakinan sedemikian. Dengan itu, tuduhan tersebut adalah tidak benar malahan ia merupakan fitnah semata-mata.” (Lihat Buku Penjelasan Terhadap Buku Aurad Muhammadiah, BAHEIS, Kuala Lumpur)

Dalam kedua-dua pertemuan ini, Asaari menafikan bahawa Syeikh tarekatnya iaitu sebagai Imam Mahdi. Kenyataan ini juga diumumkan secara bertulis dengan ditandatangai oleh Asaari dalam akhbar Arqam keluaran Disember 1979. Asaari menanggap perkara ini hanya fitnah semata-mata. Sebenarnya, inilah detik bermula penipuan Asaari. Dia membuat pengakuan sedemikian untuk meredakan isu berkaitan dan juga untuk mengelabui pandangan orang awam dan institusi agama. Sebaliknya, iktikad dan akidah tersebut terus berada dalam hatinya sehinggalah meledak pada tahun 1986 dalam buku-buku yang lain.

Kemudian, apabila Asari dipanggil oleh pihak Pusat Penyelidikan Islam pada 11.2.1981 sekali lagi beliau menegaskan bahawa Sheikh Suhaimi telahpun meninggal dunia di Kelang. (Lihat Buku Penjelasan Terhadap Buku Aurad Muhammadiah, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 84)

Ustaz Mokhtar dalam bukunya menegaskan bahawa di dalam Majlis dialog antara Mohd Taha Suhaimi (cucu Sheikh Suhaimi) dengan wakil-wakil Darul Arqam, Asari menjelaskan:

"Kedudukan Muhammadiah di Singapura agak berbeza sedikit. Kadang-kadang di negara kafir lebih senang dari negeri Islam. Kalau saya isytiharkan kedudukan saya, saya bimbang pengikut-pengikut saya akan meninggalkan pertubuhan ini (Arqam) dan mereka balik dengan cara hidup lama. Dan saya mungkin ditahan di bawah ISA kerana menyebarkan ajaran salah. Di dalam Islam, waktu darudat kita boleh menyembunyikan keyakinan kita." (Lihat Hamizan Hussin, Mengapa Ustaz Mokhtar Keluar dari Darul Arqam’, hlm. 72)

Kenyataan di atas menjelaskan secara terang mengapa Asaari bertaqiyah. Kenyataan ini dikeluarkan lapan tahun sebelum Asaari dikenakan tahanan ISA.

Bagaimanapun, pada tahun 1984, Asaari kembali mengamalkan Aurad Muhammadiah dan melakukan beberapa perubahan strategi dalam gerakan dakwahnya tanpa disedari oleh masyarakat. Di sini, penulis akan mengemukakan beberapa kenyataan Asaari berhubung dengan Imam Mahdi yang terkandung dalam buku Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam:

Kenyataan 1:

"Bukanlah saya hendak menyembunyikan atau menyorokkan tetapi memang ia tidak perlu diberitahu. Tidak ada kena mengenanya Aurad Muhammadiah dengan sesiapa Imam Mahdi itu. Dan lagi tidak ada sangkut paut perjuangan jemaah Darul Arqam dengan siapa Imam Mahdi.

Perjuangan jemaah Darul Arqam ialah untuk menegakkan kalimah Allah, bukan hendak menjadi tentera al-Mahdi. Siapa yang mendakwa bahawa ahli jemaah Darul Arqam meyakini bahawa Syeikh tarikatnya sebagai Imam Mahdi adalah suatu dusta yang amat besar."
(hlm. 15)

Kenyataan 2:

"Saya dengan tegas mengatakan tuduhan itu adalah suatu dusta yang besar. Tidak pernah saya syarahkan kepada ahli-ahli jemaah Darul Arqam supaya meyakini Imam Mahdi ialah al-Syeikh al-Sayyid Muhammad bin Abdullah al-Suahimi r.a. Tanyalah kepada ahli-ahli Jemaah Darul Arqam yang mengamalkan aurad ini, adakah mereka meyakini bahawa Imam Mahdi itu ialah Syeikh Suhaimi. Bagi orang yang waras dan berhati ikhlas, tentu akan menjawab tidak. Saya terpaksa ulangkan cerita syeikh Suhaimi sebagai Imam Mahdi itu adalah pendapat Ustaz Muhammadi Taha Suhaimi, penulis manakib (biografi) seperti yang tersebut dalam bab 3 buku ini. Dan pendapat ini tidak ada kaitan langsung dengan Aurad Muhammadiah. (hlm. 95)

Kenyataan 3:

“Oleh kerana demikian, apa salahnya kalau saya tidak menolak kemungkinan Syeikh Suhaimi adalah bakal Imam Mahdi kerana segala keterangan mengenai peribadi beliau itu tepat dan bersesuaian dengan hadith Rasulullah s.a.w. (hlm. 174)

Kenyataan 4:

"Atas dasar itulah, maka saya berani bertawaquf yakni tidak menolak khabar yang menyatakan bahawa Sheikh Suhaimi itu masih hidup dan adalah imam Mahdi." (hlm. 184)

Ketika selesai menulis buku Aurad Muhammadiah Pegangan darul Arqam, Sekaligus Menjawab Tuduhan memperlihatkan kepada kita bahawa Haji Asaari masih bertawaquf terhadap pendapat Muhammad Taha Suhaimi. Namun apabila Asaari menulis buku Inilah Pandanganku, dia mengatakan:

“Aku mendapat barakah dari seorang kekasih Allah SWT yang kurasakan ketua kepada wali-wali Allah SWT akhir zaman (al-Syeikh Sayyid Muhammad al-Suhaimi r.a.) pengasas Aurad Muhammadiah. Beliau inilah kuramal bakal Imam Mahdi dalam bukuku Aurad Muhammadiah pegangan Darul Arqam. (Lihat Inilah Pandanganku, cet. 2, Kuala Lumpur, Penerangan al-Arqam; 1988)

Kenyataan terakhir ini adalah bukti bahawa Asaari beriktikad bahawa Syeikh Suhaimi adalah Imam Mahdi. Selama ini, pengakuan-pengakuannya adalah bohong untuk mengelak dari tindakan pihak berkuasa agama dan juga bertaqiyyah agar pengikutnya tidak melarikan diri.

Dari kenyataan yang telah diketengahkan sebelum ini, ternyata Asaari tidak mempunyai pendirian tetap terhadap prinsip pegangannya. Pada peringakt awal beliau menafikan sekeras-kerasnya bahawa Syeikh Suhaimi sebagai Imam Mahdi. Seterusnya beliau bertawaquf dengan pendapat Muhammad Taha Suhaimi. Kemudian akhir sekali sehingga kini, beliau beriktikad bahawa Sheikh Suhaimi sebagai Imam Mahdi. Adalah satu pendustaan apabila Asaari mengatakan dia tidak pernah memberi kuliah atau menerangkan Syeikh Suhaimi sebagai Imam Mahdi. Ia sangat mutawatir, diiktikadkan oleh semua ahli Rufaqa dan diperjuangkan usaha-usaha untuk mendapatkan daulah termasuklah beryaqazah dengan Syeikh Suhaimi.

Kini, segala dakwaan yang dahulunya dikatakan fitnah kepada Asaari merupakan suatu bukti kukuh serta menjadi pegangan Jemaah Aurad Muhammadiah.

Kenyataan-kenyataan yang dipaparkan di atas adalah beberapa bukti yang menunjukkan betapa Asaari berpegang dengan aqidah taqiyyah ini demi mempertahankan kenyakinan dan kepercayaannya serta pengikutnya. Konsep ini bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah bahkan menyalahi firman Allah S.W.T;

Wahai orang beriman, bertaqwalah kepada Allah S.W.T dan katakanlah perkataan yang tepat dan benar (dalam segala perkara). (Surah al-Ahzab; 70)

Mungkin Asaari berhujah bertaqiyah ini dibolehkan berdasarkan dalil berikut:

“Kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa).” [An-Nahl: 106].

Ini adalah istidlal (mengambil dalil) yang keliru, tersalah dan jauh dari kebenaran kerana ayat ini khusus bagi orang yang sudah tidak tahan seksaan yang dikenakan oleh orang kafir, jika dia terpaksa mengucapkan kekufuran, maka dia boleh mengucapkannya tanpa diyakini dan diamalkan. Dan sudah pasti keadaan Asaari tidak sama dengan keadaan Ammar bin Yasir yang diseksa sehingga dia terpaksa menzahirkan kata-kata sebegitu.

Ini bermakna, Asaari memang berniat untuk bertaqiyah bagi memastikan survival diri dan jemaahnya. Ini sekali lagi terbukti sewaktu dia membuat pengakuan taqiyah di Masjid Negara di hadapan para Mufti dan ahli Majlis Fatwa Kebangsaan, Timbalan Menteri, Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara dan Ketua Cawangan Khas PDRM pada 20 Oktober 1994. Rakaman pengakuan yang dibuat di Masjid Negara telah ditayangkan di seluruh negara dan rakaman videonya serta buku transkripnya diedarkan. Kesan TAQIYAHnya itu, dia telah dibebaskan dan tidak dikenakan tahanan 2 tahun.

Dalam pengakuan taqiyah itu, Asaari telah mengakui beberapa doktrin al-Arqam telah tersasar daripada pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Berikut adalah perkara yang diisytiharkan bahawa ia tidak lagi menjadi pegangan dirinya dan menyeru semua ahli al-Arqam (ketika itu) untuk meninggalkannya:

a. Pegangan Aurad Muhammadiyah yang wajib ditinggalkan:
i. Penambahan nama khalifah ar-Rashidin dan nama Imam Mahdi dalam ucapan syahadah sewaktu bacaan wirid Aurad Muhammadiah.
ii. Asal usul wirid tersebut adalah diterima oleh Sheikh Suhaimi daripada Rasulullah s.a.w. dalam Kaabah Baitullah secara jaga (yaqazah).
iii. Sheikh Suhaimi merupakan Imam Mahdi yang ditunggu.

b. Dakwaan bahawa Haji Asaari Muhammad adalah Pemuda Bani Tamim iaitu pembantu Imam Mahdi. Dia menyifatkan dirinya ingin mencuba nasib adakah dirinya Pemuda Bani Tamim seperti yang dinyatakan dalam hadith.

c. Dalam isu yaqazah (petemuan secara jaga) Haji Asaari dengan Rasulullah, Haji Asaari mengakui dirinya tidak pernah bertemu dengan Rasulullah walaupun sekali. Dia telah beberapa kali mencuba untuk menemui Rasulullah menggunakan amalan tertentu, namun tidak pernah bertemu secara sedar. Ini sekaligus bermakna segala ‘mesej’ dari Rasulullah s.a.w. adalah sesuatu yang bukan berasal daripada Rasulullah kerana yaqazah tidak berlaku.

d. Kaedah atau cara perkahwinan poligami yang bermula dari dua, tiga dan empat kemudian sekiranya gagal barulah satu isteri. Dalam perkara ini, Haji Asaari mengaku tersalah tafsir Surah An-Nisa’, ayat 3. Bagaimanapun, Haji Asaari menyatakan dirinya dan mana-mana ahli al-Arqam tidak pernah mengamalkan kaedah dan tafsiran tersebut.

e. Haji Asaari memiliki satu sifat Allah iaitu ‘Sifat Kun Fayakun’ yang maksudnya ‘Jadi, maka jadilah’. Sifat ini bermaksud, Allah boleh menjadikan sesuatu dengan hanya berkata sesuatu itu terjadi. Haji Asaari mengakui ia adalah satu salah tafsiran isterinya yang menulis satu artikel dalam media al-Arqam. Ummu Jah telah tersalah dalam menulis semula kuliah dengan menyatakan Haji Asaari mempunyai sifat tersebut. Dia menyifatkan kesalahan itu adalah berbentuk teknikal dari segi bahasa dan menegaskan akidah mereka tidak beriktikad begitu. Dalam perkara ini, Haji Asaari tidak berpendapat perkara itu datang darinya tetapi satu salah faham di kalangan pengikutnya.

f. al-Arqam banyak menjejaskan institusi kekeluargaan di Malaysia. Dalam isu ini, Haji Asaari memohon maaf di atas kecuaiannya sebagai pemimpin.

Jika dianalisa daripada pengakuan taubat tersebut, Haji Asaari melancarkan beberapa strategi menerusi pengakuan taubatnya, sebagaimana berikut:

a. Sepanjang sesi pengakuan taubat secara terbuka itu, Haji Asaari dan pemimpin yang lain juga telah cuba menunjukkan sikap dingin mereka kepada Pusat Islam dengan mengucapkan terima kasih hanya kepada pihak PDRM sahaja dan tidak kepada Pusat Islam.
b. Haji Asaari memberi isyarat kepada para pemimpin yang bertaubat agar ‘meniti’ atas perkara yang sama disebutkan olehnya.
c. Haji Asaari tidak menggunakan istilah ‘menyeleweng daripada Ahli Sunnah Wa al-Jamaah’ atau ‘tersesat’. Haji Asaari amat berhati-hati dalam kata-katanya.
d. Haji Asaari tidak memohon maaf terhadap pengikutnya di atas sebarang kesalahannya kerana mengajar ajaran yang menyalahi akidah ahli Sunnah wa al-Jamaah. Dia sekadar memohon maaf dalam isu perpecahan keluarga kerana al-Arqam sahaja.
e. Haji Asaari telah memberi mesej terhadap semua ahli al-Arqam menerusi pengakuan tersebut iaitu dirinya masih lagi menjadi pemimpin utama mereka.
[1] Mesej itu disampaikan secara tidak langsung selepas Majlis Fatwa bertanya tentang ciri-ciri pemimpin dan pendakwah sejati. Haji Asaari memberi jawapan dengan menyatakan ciri-ciri yang merujuk kepada dirinya dan pertubuhan al-Arqam.[2]

Siaran taubat Haji Asaari dan 7 tahanan lain ini tidak ditonton oleh ahli pertubuhan itu tetapi hanya pemimpin pertubuhan sahaja kerana bertembung dengan program tahlil mingguan mereka.
[3] Pengikut al-Arqam berpendapat bahawa pengakuan dan taubat Haji Asaari itu adalah kerana dipaksa dan bagi mereka percakapan pemimpin al-Arqam itu tiada apa-apa kesan melainkan hanya satu syarahan panjang yang tidak jelas maksudnya.

Ini bermakna segala pengakuannya itu adalah bersifat dusta dan bertaqiyah. Ini kerana, setelah era Rufaqa, mereka masih memegang iktikad dan akidah yang sama dan Aurad Muhammadiah masih diamalkan dan menjadi pegangan mereka. Malahan, kebelakangan ini, sajak-sajak Asaari banyak menjadi bukti bahawa dia memang masih berpegang kepada Aurad Muhammadiah, Kemahdian Syeikh Suhaimi, beryaqazah dan macam-macam lagi tanpa sebarang perubahan.





[1] Ahmad Fauzi Abdul Hamid, Islamic Resurgence in the Periphery: A Study Of Political Islam In Contemporary Malaysia With Special Reference To The Darul Arqam Movement (1968-96), Tesis untuk memenuhi keperluan Ijazah Doktor Falsafah (PHD) di University of Newcastle Upon Tyne, United Kingdom, Mac 1998, h1m. 268 - 303.
[2] Zabidi Mohamed, 1997, Tersungkur di Pintu Syurga, hlm. 237.
[3] Waktu tayangan adalah tidak sesuai kerana hari khamis malam Jumaat semua ahli al-Arqam mengadakan tahlil. Bagaimanapun, ramai pemimpin al-Arqam yang menonton siaran itu. Lihat Harian Metro, 21 Oktober 1994, Pengikut Tidak Hirau.